SUSPEK lelaki bersama tunangnya ditahan polis.FOTO Ihsan polis.
SUSPEK lelaki bersama tunangnya ditahan polis.FOTO Ihsan polis.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Wanita ditahan bersama seorang lelaki selepas dikesan terbabit dalam kes penipuan jual beli kucing menerusi Facebook, Isnin lalu.

Wanita berusia 26 tahun itu mengaku memberikan kad ATM kepada tunangnya, 36 tahun yang dikenal pasti terbabit dalam kes kerugian sebanyak RM11,000 berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Superintendan Moses Govindarajoo berkata, pihaknya menahan suspek wanita terbabit di pejabat JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, hasil siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan suspek lelaki dalam operasi di Jalan Tuaran Bypass.

"Tangkapan susulan terhadap lelaki terbabit dijalankan selepas hasil risikan mendapati dia bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket penipuan.

"Suspek lelaki terbabit menggunakan akaun bank milik tunangnya untuk menerima wang kegiatan penipuan sebelum dipindahkan ke beberapa akaun luar negara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Moses berkata, lelaki terbabit turut mengakui bekerjasama dengan sindiket luar negara untuk menjalankan jenayah penipuan dengan menjadi perantara pindahan wang hasil daripada penipuan.

Sehubungan itu, Moses mengingatkan orang awam supaya tidak berkongsi kad ATM, maklumat perbankan dan maklumat peribadi lain yang membolehkan mereka terbabit dalam penipuan secara tidak langsung.

Katanya, kesalahan ini boleh disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 1:34 PM