SUSPEK yang ditahan bersama beberapa barangan yang dirampas untuk siasatan lanjut. FOTO Ihsan Polis.
SUSPEK yang ditahan bersama beberapa barangan yang dirampas untuk siasatan lanjut. FOTO Ihsan Polis.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis menahan seorang lagi ahli kumpulan Geng Raqib, beberapa hari selepas dia memecah masuk rumah di taman perumahan di Greenfield, Menggatal, di sini.

Warga asing berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Siasatan Khas (D9) Kontinjen Sabah, pada 10 pagi, hari ini.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, risikan dan operasi digerakkan selepas seorang pemilik rumah mendakwa kediamannya dipecah masuk pada 9 malam, 17 Februari lalu.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai mekanik berusia 39 tahun mengalami kerugian RM96,000.

"Hasil siasatan terperinci, suspek akhirnya berjaya ditahan di sebuah bilik sewa di rumah penginapan Kampung Laya Laya, Tuaran.

"Turut dirampas ialah satu unit telefon bimbit, dua beg dompet mengandungi kad bank dan lesen memandu, duit syiling 33 keping pelbagai mata wang dan beg sandang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini polis berjaya menahan lima individu termasuk ketua kumpulan Geng Raqib yang aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak pertengahan tahun lalu.

Mereka yang ditahan di Beaufort dan Kota Kinabalu dikehendaki selepas terbabit sekurang-kurangnya 17 kes pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 7:12 PM