UNIT flat berkenaan yang menarik perhatian pengguna media sosial di China. FOTO Douyin
UNIT flat berkenaan yang menarik perhatian pengguna media sosial di China. FOTO Douyin
Agensi0

Shanghai: Sebuah flat kecil di Shanghai, tular di media sosial kerana ruang dalamnya dengan kedudukan katil terletak di belakang tandas, sekali gus membongkar masalah perumahan yang dihadapi di hab metropolitan itu.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, flat itu menawarkan kadar sewa bulanan 300 yuan (kira-kira RM196). Unit itu berukuran 4.9 meter persegi dan sebenarnya berada di bawah tangga.

Ia mempunyai bilik tidur dengan tandas dan singki di hadapan tilam, dengan tangga konkrit di atas kepala.

"Rumah idaman!" kata ejen hartanah itu dalam iklan video, membayangkan bahawa dalam pasaran hartanah Shanghai, ia adalah peluang yang terlalu baik untuk dilepaskan.

Ejen itu berkata, kadar sewa bulanan AS$40 (kira-kira RM187) untuk bilik tidur, bilik mandi, dapur dan ruang tamu itu adalah tawaran hebat.

Unit itu disewa oleh pemandu platform e-hailing Didi, pada hari sama iklan itu disiarkan.

Menerusi perkongsian satu video, selepas pintu unit itu dibuka, kelihatan ruang tamu dengan ruang untuk hanya seorang berdiri dan papan kayu bertindak sebagai dinding, memisahkan flat itu dari rumah jiran.

Dapur terletak di sebelah kiri ruang tamu.

"Malah ada tingkap sebenar. Ia sangat lapang. Jika kawan datang, kamu boleh memasak dan duduk di tangga untuk menikmati hidangan bersama-sama," katanya.

Bilik tidur dan bilik air berada di sebelah kanan, tanpa tingkap.

Penyewa mesti tidur di atas lantai, menghadap tandas dan pemanas air tergantung di sebelah katil.

"Berhati-hati ketika mandi, atau katil anda akan basah.

"Jika anda ingin menambah penyaman udara, sewa akan dinaikkan sebanyak 100 yuan (kira-kira RM65)," seloroh ejen berkenaan

"Ini sama sekali tidak perlu kerana tinggal di bilik seperti ini sudah membuatkan hati kamu sejuk," katanya.

Menurut Baisen Appraisal, sebuah agensi penilaian hartanah tempatan, purata sewa untuk flat satu bilik di Shanghai adalah lebih daripada 5,134 yuan (kira-kira RM3,363) sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 12:40 PM