FAHMI (tengah), Mohamad Salim(dua kiri) dan Goh Seow Eng (kiri) melakukan gimik perasmian Maxis 5G Advanced Trial Showcase di Suria KLCC. FOTO Aswadi Alias
FAHMI (tengah), Mohamad Salim(dua kiri) dan Goh Seow Eng (kiri) melakukan gimik perasmian Maxis 5G Advanced Trial Showcase di Suria KLCC. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sekali lagi menegaskan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan Rabu lalu, tidak akan mengekang kebebasan media di negara ini.

Fahmi berkata, pihaknya kadangkala melihat komen yang dibuat berkaitan kod etika itu itu tidak adil kepada Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Malaysian Press Institute (MPI) kerana ia sudah ada sejak tahun 1989.

"Jika anda bandingkan pelancaran dokumen itu dengan dokumen 1989, ia adalah sama. Mukadimahnya sama, masih ada lapan perkara utama.

"Ia tidak ada kaitan dengan mengekang kebebasan media. Beberapa komen yang dibuat, tidak adil kepada JaPen dan MPI.

"Pada pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI (Datuk Mustapa Omar) berkata, dokumen ini adalah dokumen yang berasal dari 1989," katanya pada sidang media selepas melancarkan Maxis 5G Advanced Trial Showcase di Suria KLCC di sini, hari ini.

Semalam, LFL mendakwa Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu dilancarkan oleh kerajaan adalah percubaan untuk mengawal media.

Pengarah LFL Zaid Malek dilaporkan mendakwa, kuasa JaPen untuk membatalkan akeditasi kad media sebagai ancaman terhadap akhbar.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pihaknya akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meneliti cara terbaik liputan Internet dalam bangunan sebagai sebahagian prosedur operasi standard (SOP) perancangan bandar.

Katanya, ini kerana dari segi liputan Internet dalam bangunan, kebiasaannya dibuat selepas bangunan itu siap.

"Kita lihat sekarang, Internet satu utiliti asas, jadi saya lihat ada keperluan untuk adakan perbincangan.

"Insya-Allah selepas ini saya akan minta sebagai contoh pihak MCMC untuk berhubung dengan KPKT supaya kita dapat meneliti apakah cara terbaik untuk kita pastikan perancangan bandar dapat memasukkan isu liputan internet dalam bangunan ini sebagai sebahagian daripada SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:38 PM