FAHMI, gambar. FOTO Bernama
FAHMI, gambar. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Kod Etika Wartawan Malaysia akan terus memacu media di Malaysia sebagai sumber dipercayai rakyat dalam memberi maklumat tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kod etika berkenaan merupakan versi baharu yang diteliti semula oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) untuk menggantikan kod yang telah diguna pakai sejak 35 tahun lepas.

"Pihak media berperanan penting sebagai mata dan telinga yang boleh dipercayai dalam memberikan maklumat tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara. Kod etika ini akan terus memacu media di Malaysia sebagai sumber yang dipercayai rakyat," katanya ketika berucap melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia di sini hari ini.

JaPen dalam kenyataan sempena pelancaran hari ini berkata, kod etika berkenaan menggarap lapan etika utama iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti; dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Fahmi berkata, Kod Etika Wartawan versi baharu itu telah dimurnikan dengan penglibatan wakil wartawan serta organisasi media, dan mengambil kira peranan pengamal media tanpa mengganggu gugat, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam membuat pelaporan.

"Namun demikian, tidak ada kebebasan yang mutlak bagi mana-mana individu atau organisasi untuk membuat kenyataan yang tidak benar. Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam," katanya.

Beliau mengingatkan wartawan dan organisasi media untuk bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih kerana mereka juga berperanan menyuburkan kemakmuran serta keharmonian yang didukung melalui nilai Malaysia Madani.

Sementara itu, Fahmi berkata Kod Etika Wartawan Malaysia juga adalah dokumen rasmi sebagai punca kuasa dan rujukan bagi tujuan pengeluaran serta pembatalan kad perakuan media.

Kad perakuan media yang dikeluarkan JaPen adalah dokumen pengenalan diri bagi pengamal media daripada agensi dan syarikat media berdaftar.

"Kad perakuan media digunakan oleh wartawan dan organisasi media untuk membuat pelaporan acara rasmi kerajaan," katanya.

Fahmi berkata, setakat 16 Februari lalu, 9,750 pengamal media berdaftar dengan kad perakuan media JaPen, membabitkan 152 agensi media.

Katanya, empat daripada agensi media itu adalah media rasmi kerajaan, 38 media tempatan, 60 media dalam talian dan 50 media antarabangsa.

"Saya berharap warga media terus mendedikasikan dunia kewartawanan ke arah yang positif demi kemaslahatan rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebebasan pengamal media untuk menyampaikan maklumat dan pemberitaan tanpa halangan daripada pihak yang berkepentingan.

Katanya, laporan Indeks Kebebasan Media bagi 2023 oleh Reporters Without Borders (RSF) menempatkan Malaysia pada kedudukan ke-73 daripada 180 buah negara.

"Keunikan landskap media di Malaysia semestinya tidak tertakluk kepada cara penilaian yang berlandaskan media barat. Pengamal media di Malaysia sentiasa bertindak mengikut keadaan negara dengan mengambil kira undang-undang sedia ada

"Hal ini membuktikan ada pergerakan yang dinamik dalam penyampaian maklumat oleh wartawan. Dalam keadaan dunia yang serba moden ini, medium penyampaian maklumat sentiasa berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 11:48 AM