FAHMI (tengah) pada majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia yang turut dihadiri Mohamad Fauzi (dua dari kiri),  Mohd Sukari (dua dari kanan) dan Mustapa (kanan). FOTO Bernama
FAHMI (tengah) pada majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia yang turut dihadiri Mohamad Fauzi (dua dari kiri), Mohd Sukari (dua dari kanan) dan Mustapa (kanan). FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan akan mengekang kebebasan media negara ini.

Sebaliknya katanya, kod etika ini wujud sejak tahun 1989 lagi dan pihaknya hanya menambah baik perkara itu.

"Kod etika ini wujud sejak 1989. Kita hanya menambah baik. Memandangkan ada beberapa perkara sebagai contoh kalau kita teliti perkara kelapan (dalam kod etika).

"Wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan antara lain sebab perkembangan teknologi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia di kementeriannya hari ini.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Mustapa Omar.

Kod Etika Wartawan Malaysia mengandungi lapan etika utama iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, wartawan hendaklah telus dan berintegriti dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dengan adanya kod etika ini, prinsip seperti kebebasan bersuara akan dipertahankan pihaknya kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

"Tapi pada masa yang sama perlu ada satu peningkatan kesedaran dan kemahiran dalam kalangan wartawan untuk mendepani zaman termasuk isu AI (kecerdasan buatan) dan media sosial," katanya.

Fahmi berkata, Kod Etika Wartawan Malaysia ini versi baharu yang diteliti semula oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bagi menggantikan kod etika yang diguna pakai sejak 35 tahun lalu.

"Kod Etika Wartawan ini dimurnikan dengan pembabitan wakil wartawan serta organisasi media agar dapat mengambil kira peranan pengamal media tanpa mengganggu gugat, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam membuat pelaporan," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, pihaknya akan meminta MPI untuk menghasilkan satu modul khusus berkaitan penggunaan kecerdasan AI bagi manfaat media di negara ini.

"Ada beberapa perkara tetapi penting untuk media mengetahui bukan hanya untuk menghasilkan bahan tetapi juga untuk mengenalpasti sebagai contoh deep fake.

"Dan ini adalah penipuan yang menyalahgunakan kandungan menggunakan AI untuk menyebar berita palsu.

"Saya harap dalam masa yang tak terlalu lama kita boleh ada satu modul yang boleh menjemput media untuk meneliti dan mengikutinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 2:26 PM