Motosikal Honda Vario yang dinaiki wanita yang maut dalam kemalangan dengan dua kereta di Simpang Tiga Kuala Pegang Jalan Kulim, Baling - Gerik. FOTO IHSAN PDRM
Motosikal Honda Vario yang dinaiki wanita yang maut dalam kemalangan dengan dua kereta di Simpang Tiga Kuala Pegang Jalan Kulim, Baling - Gerik. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Wanita maut apabila terjatuh selepas skuter ditunggangi bergesel dengan Perodua Myvi di simpang tiga Jalan Kulim-Baling berhampiran Kuala Pegang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.27 pagi, mangsa yang juga pekerja am pembersihan berusia 39 tahun maut di tempat kejadian

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang Honda Vario dari arah Carok Garok ke Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, dekat sini.

Menurutnya, Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 58 tahun pula datang dari arah Baling menghala ke Kuala Ketil untuk pulang ke rumah.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, skuter ditunggangi wanita itu dari laluan kiri dipercayai mengubah ke laluan kanan jalan menyebabkan Perodua Myvi yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu bergesel.

"Penunggang skuter hilang kawalan lalu terjatuh sebelum Perodua Kelisa yang datang dari arah belakang juga tidak sempat mengelak lalu melanggar kepala mangsa," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 3:57 PM