LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nor Farhani Che Ad dan Zuliaty Zulkiffli


PEMBANTU pemandu bas ekspres parah selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kulim-Baling berdekatan Titi Karangan, di Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun mengalami kecederaan dalaman akibat tersepit, manakala pemandu dan empat penumpang bas cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, bas yang membawa 26 penumpang itu dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Kelantan.

“Kejadian disyaki berlaku apabila pemandu bas hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Lori yang berada di laluan bertentangan tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu lori berusia 39 tahun mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya mengambil masa 15 minit bagi mengeluarkan semua mangsa.

Operasi membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech diketuai Pegawai Bomba Mohd Firdaus Ahmad Jalal bersama bantuan dari BBP Kulim.

Berita berkaitan

Seorang tersepit, empat cedera

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 3:30 PM