KEMALANGAN maut membabitkan penunggang motosikal yang terperosok dan tersepit di bawah sebuah lori membawa muatan sawit. FOTO Ihsan JBPM
KEMALANGAN maut membabitkan penunggang motosikal yang terperosok dan tersepit di bawah sebuah lori membawa muatan sawit. FOTO Ihsan JBPM
Nor Farhani Che Ad


SEORANG penunggang motosikal maut selepas terperosok dan tersepit di bawah sebuah lori membawa muatan sawit di lebuh raya Kulim-Baling di Kulim, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan bagi mengeluarkan mangsa pada 1.44 petang tengah hari ini.

Beliau berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech Park dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum tiba 20 minit kemudian.

"Setibanya di lokasi kejadian anggota operasi mendapati mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an itu terperosok dan tersepit di bawah lori terbabit bersama motosikalnya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan kenderaan kren pada 2.35 petang.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 5:59 PM