Sanusi Md Nor ketika sidang media. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Sanusi Md Nor ketika sidang media. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kedah belum bercadang melakukan pembenihan awan dalam masa terdekat berikutan tujuh daerah di negeri ini merekodkan suhu panas tahap berjaga-jaga akibat fenomena El Nino.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini berikutan tahap tiga empangan utama di negeri ini berada dalam keadaan baik untuk kegunaan domestik, pertanian dan industri.

"Kita tidak ada keperluan untuk lakukan pembenihan awan, setakat ini kita masih ada bekalan air mencukupi dari Sungai Muda .

"Agensi berkenaan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang mengawal empangan belum ada apa-apa laporan, kita tak ada isu air empangan seperti negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Amanat Menteri Besar Kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana cuaca panas boleh menyebabkan masalah bekalan air.

Katanya, sekiranya paras air di Sungai Muda menurun dengan ketara, ia boleh menjejaskan proses mengepam air ke loji rawatan air (LRA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 4:20 PM