NOOR Jan diiringi polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamar sebagai Sultan Melaka. FOTO Hatim Ab Manan
NOOR Jan diiringi polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamar sebagai Sultan Melaka. FOTO Hatim Ab Manan
Salman Hamat


Melaka: Noor Jan Tuah, 59, mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan berasingan menipu empat lelaki dengan menyamar sebagai Sultan Melaka ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Nor Jan didakwa menipu Zaamat Md Idris, Mokhtar Md Yusof, Ahmad Zainuddin Abdul Hamid dan Hazizi Ikhwan Zaamat.

Tertuduh dengan jalan samaran didakwa mengadakan istiadat penyerahan surat pelantikan dirinya sebagai Sultan Melaka sedangkan itu bukan identiti sebenarnya.

Bagi kesalahan itu, Noor Jan dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada majlis istiadat di A'Famosa Resort Melaka, jam 10 malam, 28 Disember 2013.

Tertuduh yang memakai sut biru gelap dan berkemeja oren mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan kerana menganggap kesalahan dilakukan tertuduh sebagai serius.

Namun, peguam bela tertuduh, Surjan Singh Sidhu memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama bermula daripada awal siasatan kes dilakukan polis.

Ahmad Sazali kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan 21 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 12:18 PM