Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan penipuan perniagaan pelitup muka berjumlah RM352,000, pada tahun lalu.

Tertuduh, Tjoeng Chan Chin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Tjoeng didakwa menipu dengan memperdayakan seorang lelaki berusia 37 tahun mengenai perniagaan pelitup muka yang tidak wujud sehingga mendorong menyerahkan wang RM352,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Puchong Jaya antara 28 April hingga 13 Mei 2020.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM150,000 bersama seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar wang jaminan dikurangkan kepada RM15,000 dan memaklumkan sudah mengembalikan sejumlah wang kepada lelaki berkenaan.

TJOENG (kiri) didakwa melakukan penipuan penjualan pelitup muka di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
TJOENG (kiri) didakwa melakukan penipuan penjualan pelitup muka di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 14 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 12:50 PM