M Gopala (baju merah) mengaku tidak bersalah tipu pengarah syarikat berkaitan tawaran tender pajakan ladang kelapa sawit tidak wujud tahun lalu. FOTO MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
M Gopala (baju merah) mengaku tidak bersalah tipu pengarah syarikat berkaitan tawaran tender pajakan ladang kelapa sawit tidak wujud tahun lalu. FOTO MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pemandu lori dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat berkaitan tender pajakan tanah ladang tidak wujud hingga menyebabkan mangsa kerugian RM1.03 juta tahun lalu.

M Gopala Krishnan, 39, dari Taman Emas 1, Kapar, Klang, Selangor bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Yap Koh Cheng, 69, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan tender pajak ladang kelapa sawit.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong Yap menyerahkan wang berjumlah RM1,029,000 yang mana kesalahan itu didakwa dilakukan pada Jun 2023 di Kawasan Perindustrian Lendu, Alor Gajah, dekat sini.

Oleh itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom manakala tertuduh diwakili Peguam K Shareveen dan S Daniel.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 berserta seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat kes.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Mac depan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 2:46 PM