ADAM Radlan (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Wibawa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ADAM Radlan (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Wibawa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 47 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh pada sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Suzana Hussin di sini, hari ini.

"Hari ini sebutan kes untuk status pertuduhan (dihadapi Adam Radlan) di bawah pengubahan wang haram untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan predikat (rasuah). Pendakwaan memohon kes terbabit dibicarakan bersama kerana berkaitan transaksi yang sama. Saksi pula akan memberi keterangan dengan membaca pernyataan saksi," kata Farah Yasmin.

Peguam Adam Radlan, Alaistair Brandah Norman yang tidak membantah semua pertuduhan dihadapi anak guam dibicarakan bersama memaklumkan perlu mendapatkan arahan daripada peguam utama berhubung serahan pernyataan saksi.

"Ia sama ada kami bersetuju pernyataan saksi diserahkan 14 hari sebelum saksi dipanggil," katanya.

Suzana membenarkan semua pertuduhan dihadapi Adam Radlan, 43, yang juga ahli perniagaan dibicarakan bersama.

"Saya tetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac ini untuk status dokumentasi sebagai persediaan bicara dan arahan lanjut berkaitan pernyataan saksi," katanya.

Sebelum ini, Suzana menetapkan perbicaraan kes Adam Radlan selama 15 hari iaitu 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Pada 9 November lalu, ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.6 juta.

Adam Radlan sebagai Pengarah Bumiraya Sdn Bhd memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM3.675 juta dari akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu ke akaun bank sama milik tertuduh serta tiga individu lain termasuk Nabilah Mahiaddin antara 1 Disember hingga 27 Disember 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Di Mahkamah Shah Alam pada 22 Februari tahun lalu pula, Adam Radlan didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd mendapatkan dua projek.

Ahli perniagaan itu juga dihadapkan sebanyak tiga kali di Mahkamah Sesyen di sini, sebelum ini.

Pada 25 Oktober lalu, Adam Radlan didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 dari akaun CIMB Bank Berhad miliknya di CIMB Berhad, Cawangan Bukit Tunku di sini antara 2 Disember 2021 hingga 22 Februari 2022.

Pada 28 Februari 2023, dia pula didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian Tian Chuan sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Pada 21 Februari tahun sama, Adam Radlan didakwa meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh Mat Jusoh Mamat iaitu Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd dan suapan bernilai RM500,000 daripada individu sama berhubung projek Jana Wibawa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:27 PM