ADAM Radlan, gambar fail. FOTO NSTP
ADAM Radlan, gambar fail. FOTO NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya lima pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Wibawa yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad dibicarakan bersama.

Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry membuat permohonan itu mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Lima pertuduhan rasuah dibenarkan untuk dibicarakan bersama. Tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan dan saya menetapkan tarikh sebutan kes pada 16 Februari ini untuk serahan dokumen berkaitan," katanya.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Mohd Fadhly berkata, tiada bantahan daripada pihak pembelaan terhadap permohonan itu dan ia disahkan oleh peguam Alaistair Brandah Norman mewakili Adam Radlan.

Mohd Fadhly berkata, pihaknya memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan sebelum perbicaraan bermula bagi pihak pendakwaan mengemaskini senarai saksi sebelum diserahkan kepada mahkamah bagi tujuan perbicaraan.

"Bagi tujuh pertuduhan pengubahan haram yang dihadapi tertuduh, pihak pendakwaan menyerahkan dokumen yang berkaitan kepada pihak pembelaan.

"Saya dimaklumkan oleh pihak pembelaan bahawa mereka ingin meneliti dahulu dokumen itu sebelum mereka memaklumkan kepada pihak pendakwaan sama ada terdapat bantahan atau tidak jika pihak pendakwaan membuat permohonan supaya kes pengubahan wang haram dibicarakan bersama dengan kes rasuah," katanya.

Pada 14 September tahun lalu, mahkamah sama menetapkan 15 hari bermula Mei ini untuk perbicaraan tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi ahli perniagaan itu iaitu pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos tahun ini.

Pada 21 Februari tahun lalu, Adam Radlan didakwa satu pertuduhan meminta suapan wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang juga Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 daripada individu sama (Mat Jusoh) sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 November 2021.

Sementara itu, pada 22 Februari tahun lalu, Adam Radlan didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek jenis sama (Jana Wibawa).

Pada 28 Februari tahun sama, dia sekali lagi didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada 25 Oktober lalu, Adam Radlan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000.

Pada 9 November lalu, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd didakwa atas enam pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM3.675 juta dari akaun syarikat tersebut kepada akaun CIMB Bank Berhad miliknya dan tiga individu lain antaranya Nabilah Mahiaddin dan Ameer Azlan Mohd Ayob antara 1 Disember 2021 dan 27 Disember 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda jumlah atau nilai daripada hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 2:24 PM