ADAM Radlan (kiri) ketika hadir untuk sebutan kes atas lima pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Wibawa di Mahkamah Tinggi Jenayah, sebelum ini. FOTO Fathil Asri.
ADAM Radlan (kiri) ketika hadir untuk sebutan kes atas lima pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Wibawa di Mahkamah Tinggi Jenayah, sebelum ini. FOTO Fathil Asri.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan Timbalan Ketua Bahagian Segambut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adam Radlan Adam Muhammad melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 1 dan 7 hari bulan, setiap bulan.

Perkara itu dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide selepas mendapati ahli perniagaan itu gagal menghadirkan diri bulan ini dan memohon mahkamah memberi peringatan kepadanya supaya mematuhi syarat tambahan yang dikeluarkan.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini, Maziah turut menawarkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM setiap awal bulan.

"Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah menetapkan tarikh spesifik yang merujuk kepada tarikh pada setiap awal bulan yang ditetapkan sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, Azura menetapkan supaya Adam Radlan melapor diri di pejabat SPRM antara 1 dan 7 haribulan, setiap bulan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat dan Maziah Mohaide hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Adam Radlan.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengesahkan sudah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan pada perbicaraan Adam Radlan yang menghadapi lima pertuduhan rasuah berkaitan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sehubungan itu, dua Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 14 September ini bagi satu lagi sebutan kes untuk status penyerahan senarai saksi pendakwaan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.

Di hadapan Hakim Azura, ahli perniagaan itu menghadapi pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM2 juta.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin pula, Adam Radlan turut didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.1 juta dan dua pertuduhan lain iaitu menerima rasuah RM500,000 dan meminta rasuah iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek.

Ketika kedua-dua mahkamah bersidang, pasukan pendakwaan memaklumkan bahawa baki dokumen sudah diberikan kepada pihak pembelaan manakala senarai saksi belum diserahkan.

Sementara itu, Rajan Navaratnam mengesahkan pihaknya sudah menerima dokumen berkenaan.

Adam Radlan, 42, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pertama meminta rasuah daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus nilai projek berkaitan Jana Wibawa.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa.

Dia didakwa meminta rasuah di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021 manakala tuduhan menerima rasuah dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku pada 26 November 2021.

Pada 22 Februari pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn

Bhd didakwa menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Mat Jusoh.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Jaya One, Petaling Jaya antara 26 November 2021 dan 5 Januari lalu.

Pada 28 Februari pula, Adam Radlan sekali lagi didakwa di sini atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta daripada individu bernama Lian Tan Chua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 4:50 PM