Kakitangan Perhilitan bersama penduduk memasang perangkap harimau dengan menjadikan seekor kambing sebagai umpama di Kampung Merbau Menyusut. FOTO ZAID SALIM
Kakitangan Perhilitan bersama penduduk memasang perangkap harimau dengan menjadikan seekor kambing sebagai umpama di Kampung Merbau Menyusut. FOTO ZAID SALIM
Oleh Zaid Salim


Setiu: Penduduk Kampung Merbau Menyusut, di sini, lega apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan memasang perangkap harimau yang dikatakan masih berkeliaran di kawasan kebun getah dan sawit milik penduduk, sejak dua minggu lalu.

Kewujudan harimau belang betina bersama seekor anak meresahkan penduduk apabila haiwan itu dikatakan sudah memasuki kawasan kampung yang terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Hulu Nerus.

Malah, haiwan itu juga dipercayai membaham haiwan peliharaan penduduk susulan penemuan bangkai lembu di kawasan kebun sawit dan getah yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari rumah penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Merbau Menyusut, Mohd Zamri Embong berkata, perangkap itu dipasang tengah hari semalam oleh kakitangan Perhilitan dan berharap ia dapat menyelesaikan masalah yang menghantui penduduk.

"Pemimpin kampung ini (Merbau Menyusut) menyumbangkan seekor kambing untuk dijadikan umpan dan berharap usaha itu berhasil," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, hari ini.

Katanya, pemasangan perangkap berkenaan diharap dapat menyelesaikan masalah penduduk yang mendakwa hilang sumber pendapatan apabila tidak dapat ke kebun getah dan ladang sawit.

Menurut Mohd Zamri, kebanyakan penduduk kampung berkenaan mengusahakan ladang sawit dan getah yang terletak berhampiran kawasan hutan sebagai punca pendapatan.

"Sejak kewujudan haiwan itu, penduduk mendakwa hilang sumber pendapatan apabila tidak dapat menjalani aktiviti harian di kebun kelapa sawit dan getah kerana bimbang menjadi mangsa haiwan berkenaan.

"Sebilangan besar penduduk kampung berkenaan mencari rezeki dengan hasil jualan sawit dan getah dan ia sekali gus menjejas pendapatan mereka," katanya.

Penduduk, Suriani Abd Ghani, 52, berkata sejak mengetahui berita kewujudan harimau belang berkenaan, dia tidak berani untuk keluar menoreh getah sekali gus menjejaskan pendapatannya yang hanya bergantung kepada hasil jualan getah.

"Selepas tahu harimau masuk kawasan kampung, saya tidak berani untuk ke kebun untuk menoreh atau membersihkan kawasan.

"Beberapa hari lalu ada penduduk memberitahu ternampak kelibat haiwan berkenaan bersama anaknya di kawasan kebun getah di belakang rumah saya," katanya.

Wanita itu juga mendakwa pernah kehilangan lima ekor kambing peliharaannya sebelum ini dan percaya haiwan terbabit menjadi mangsa harimau berkenaan.

"Kami lega sedikit apabila Perhilitan sudah memasang perangkap dan berharap harimau terbabit berjaya ditangkap," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 1:11 PM