Alias Abd Rani


Muar: Wanita warga Vietnam didenda RM800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan di sebuah hotel dalam daerah ini, Khamis lalu.

Pham Thi Khuyen, 44, yang belum berkahwin didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan, dia didapati mencari langganan untuk tujuan pelacuran bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Jalan Pesta di sini, pada jam 11.42 malam, 8 Februari lalu.

Hukuman bagi kesalahan ini dia boleh dipenjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Norain Sakina Zakri dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan tertuduh manakala pihak pembelaan merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum kerana tertuduh menyesal atas perbuatan dilakukan.

PHAM Thi Khuyen dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas mengaku menyundal di hotel. FOTO Alias Abd Rani
PHAM Thi Khuyen dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas mengaku menyundal di hotel. FOTO Alias Abd Rani

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 dan tertuduh juga diarah menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayarnya.

Berdasarkan fakta kejadian, polis menjalankan serbuan di hotel terbabit sebelum menemui tertuduh bersama pelanggan dalam biliknya.

Siasatan polis mendapati ketika serbuan dilakukan, tertuduh didapati sedang memberi khidmat seks terhadap seorang pelanggan lelaki.

Tertuduh didakwa mencari pelanggan melalui aplikasi Wechat sebelum meminta pelanggan datang ke bilik penginapannya untuk melakukan perbuatan itu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya telefon bimbit, tisu basah, kondom termasuk satu daripadanya sudah digunakan selain minyak pelincir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 1:28 PM