Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang wanita warga asing yang mencari pelanggan bagi maksud persundalan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tadi.

Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap ibu tunggal Nyuyen Thi Tuyen,39, yang mengaku salah atas pertuduhan terbabit.

Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama lima bulan.

Tertuduh didapati mencari langganan bagi maksud persundalan di Blok B2, Jalan Abadi 1, Taman Malim Jaya, pada 23 Februari lalu, jam 9 malam.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, memperuntukkan penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya.

Semasa rayuan peguam Loong Meng Si memohon mahkamah mempertimbangkan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Katanya, tertuduh melakukan pekerjaan itu kerana terdesak untuk mendapatkan wang untuk dikirimkan kepada ibunya yang menjaga dua anaknya berusia 10 dan 11 tahun di Vietnam.

"Tertuduh rasa bersalah selepas didakwa dan saya memohon hukuman denda paling minimum dikenakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 4:10 PM
TERTUDUH, Nyuyen Thi Tuyen,39, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku salah atas pertuduhan mencari langganan bagi maksud persundalan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
TERTUDUH, Nyuyen Thi Tuyen,39, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku salah atas pertuduhan mencari langganan bagi maksud persundalan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.