GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang: Wanita warga emas patah tangan kanan akibat terjatuh selepas diragut penjenayah di hadapan sebuah restoran di Taman Muda di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ketika kejadian kira-kira 5 petang itu mangsa berusia 72 tahun sedang berjalan ke kedai untuk membeli barang.

"Datang seorang lelaki menaiki motosikal menghampiri dan meragut rantai emas yang dipakai mangsa.

"Mangsa cedera di leher belakang dan patah tangan kanan kerana terjatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan.

Katanya, pihak polis sedang mengesan suspek yang dipercayai warga tempatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 2:53 PM