GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang: Penganggur disyaki meragut beg tangan seorang wanita warga emas sebelum beli barang keperluan dan dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 67 tahun mendakwa diragut ketika sedang berjalan sendirian berhampiran pusat beli belah Paragon, Taman Muda, di sini.

"Jam 3.40 petang mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai didatangi suspek yang menaiki motosikal lalu meragut bag tangan berwarna biru yang dipegang di tangan kanan mangsa.

"Suspek kemudian terus melarikan diri tidak dapat dipastikan ke arah mana mengakibatkan mangsa kehilangan dua telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai RM200," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jam 6.30 petang Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menyerbu sebuah kediaman di sekitar Pandan Indah dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.

Menurutnya, semakan mendapati suspek yang juga seorang penganggur mempunyai lapan rekod lampau dan dalam senarai dikehendaki polis berhubung kesalahan dadah.

"Modus Operandi suspek adalah melakukan samun ragut beg mangsa menggunakan motosikal secara berseorangan dan hasil dari kegiatan itu sudah habis digunakan untuk perbelanjaan harian dan membeli dadah.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah. Suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 3:47 PM