Muhamaad Razis Ismail


DUA beradik direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes ragut warga emas berusia 72 tahun di Taman Limau Manis, Jalan Hamzah, Kota Bharu, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret di sini Rosli Ahmad terhadap lelaki berusia 27 dan 33 tahun itu sehingga 4 Mac ini untuk disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-duanya yang berpakaian lokap ungu dan oren dibawa ke mahkamah jam 9 pagi ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan dua beradik itu direman untuk siasatan lanjut. Dua beradik itu ditahan polis jam 1 tengah hari semalam selepas sejam meragut beg tangan seorang warga emas. Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu mangsa Wong Chui Ling cedera di kepala selepas terjatuh di jalan.

Dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan kereta Proton Persona milik ibu mentua salah seorang daripadanya.

Mereka ditahan di rumah mentua salah seorang lelaki itu di Jalan Bayam selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu tersebar di media sosial.

Turut ditemui bersama mereka adalah beg tangan mangsa yang diragut dengan sebahagian wang sudah digunakan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methampetamine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 1:54 PM
DUA beradik ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
DUA beradik ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa