Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: "Jiran nampak percikan api dari rumah saya," kata pemilik salah sebuah daripada enam rumah yang musnah dalam kebakaran di Flat Sri Sabah, Cheras di sini, malam tadi.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Lau, 32, berkata rumah yang didiami bersama ibunya sejak lebih tiga dekad itu musnah dalam kebakaran kira-kira jam 9.30 malam itu.

Katanya, dia percaya kebakaran mungkin berpunca daripada kotak fius berdekatan pintu hadapan rumah dan bukan berpunca daripada mercun seperti yang didakwa.

"Ada media melaporkan kebakaran itu mungkin berpunca daripada tindakan membakar kertas sembahyang, bakar mercun dan sebagainya.

"Itu semua tak betul kerana kita tidak ada bakar kertas sembahyang (untuk ritual agama) atau bakar mercun seperti didakwa.

"Biarlah pihak bomba jalankan siasatan terlebih dahulu dan tidak perlu buat andaian (punca kebakaran)," katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.

Dia yang menghuni kediaman itu bersama ibunya yang berusia 68 tahun, berkata ketika kejadian mereka berada di sebuah pusat membeli belah untuk menonton wayang sejak jam 6 petang.

"Saya dapat panggilan daripada sepupu yang tinggal di blok sebelah maklumkan tentang kebakaran itu.

"Kami terus bergegas pulang dan tiba di sini dalam jam 10.25 malam dan pada waktu itu, pasukan bomba sedang berusaha memadamkan api," katanya.

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Unit Forensik melakukan kerja pemeriksaan punca kebakaran selepas kejadian kebakaran enam unit rumah di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Unit Forensik melakukan kerja pemeriksaan punca kebakaran selepas kejadian kebakaran enam unit rumah di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Joe Boy Joseph Simon, 61, berkata dia dimaklumkan oleh rakannya berhubung kejadian itu ketika sedang makan malam kira-kira jam 9.30 malam.

"Saya terima panggilan rakan, lantas saya kemudian bergegas pulang, sebaik sampai saya ingat rumah saya sahaja terbakar, rupanya api merebak dari pintu tiga dan turut menjejaskan rumah jiran lain.

"Masalah pada tekanan air juga memberi kesan, itu yang lambat nak padam, kalau ada mungkin boleh selamat banyak rumah. Kita pun tidak berani hendak pergi dekat sebab api marak dengan cepat," katanya.

Katanya, setakat ini jumlah kerugian belum dapat dianggarkan berikutan rumahnya itu masih dalam proses ubah suai dan banyak peralatan elektronik sudah dibawa keluar.

Menurutnya, dia juga bersyukur kerana ibunya yang berusia 82 tahun yang lazimnya berada di rumah namun tinggal bersama kakaknya pada hari kejadian.

"Apa pun saya reda dengan kejadian yang berlaku, harapan ada sedikit bantuan dan sumbangan oleh kerajaan atau pihak berwajib bagi meringankan beban ditanggung mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 1:39 PM