Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pasukan bomba dan penyelamat mengakui usaha memadam kebakaran di tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras di sini berdepan cabaran, khususnya apabila sistem pencegahan kebakaran tidak berfungsi dengan baik.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi berkata, bangunan pangsapuri itu sudah tersedia dengan sistem berkenaan, namun kegagalannya berfungsi menyebabkan pasukan terpaksa mengepam air dari bawah.

"Blok ini memang mempunyai sistem (pencegahan) kebakaran, cuma ia mungkin tidak berfungsi sepenuhnya menyebabkan pihak bomba terpaksa menggunakan kelengkapan sedia ada untuk membawa air ke tingkat 17 bagi kerja pemadaman.

"Kita gunakan pam di tingkat 16, jadi apabila pam dan air mencukupi, maka tekanan air lebih baik di atas dan kerja pemadaman dapat dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi.

Nordin berkata, seramai 55 pegawai dan anggota bomba bersama enam jentera dibantu 39 anggota daripada agensi lain, terbabit dengan kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran, selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.19 malam.

ZAM Halim Jamaluddin (tiga, kanan) ketika ditemui di lokasi kebakaran di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
ZAM Halim Jamaluddin (tiga, kanan) ketika ditemui di lokasi kebakaran di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

"Kebakaran berlaku di tingkat 17 membabitkan sayap kanan yang mempunyai enam rumah, tetapi hanya lima rumah yang terbakar, manakala sebuah rumah yang terletak hujung sebelah tangga terselamat," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran itu masih dalam siasatan dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera.

"Berdasarkan 'patern' kebakaran, kawasan paling banyak kesan (api) adalah rumah ketiga tetapi punca sebenar (kebakaran) akan dikenal pasti.

"Kita percaya kebakaran merebak dari rumah tengah (rumah ketiga) ke rumah kedua di dua-dua sisi (kiri kanan dari rumah ketiga)," katanya.

Menurutnya, didapati dua daripada enam rumah di sayap kanan bangunan itu kosong, manakala ada penghuni yang tiada di rumah, selain ada rumah yang berpenghuni.

"Semua penghuni rumah yang menjadi mangsa dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut dari aspek kebajikan dan bantuan," katanya.

Beliau turut memaklumkan semua penghuni Blok 70 dibenar pulang ke rumah masing-masing pada 2 pagi, namun dijangka berdepan gangguan elektrik dan air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, berdasarkan maklumat awal, kejadian itu tiada unsur jenayah.

"Bagaimanapun, kita akan membuat siasatan lanjut selepas menerima maklumat lengkap daripada pihak bomba.

"Kami akan menggerakkan 50 anggota di lokasi ini dan akan mengenal pasti kawasan pemindahan sementara bagi mangsa terjejas, akan adakan kawalan keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 2:17 AM