HASSAN menunjukkan jalan ke kebun yang pecah dan berlubang di Kampung Bukit Hangus, di sini sejak 10 tahun lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
HASSAN menunjukkan jalan ke kebun yang pecah dan berlubang di Kampung Bukit Hangus, di sini sejak 10 tahun lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Penduduk Kampung Bukit Hangus dan Kampung Kuala Hai di sini, terpaksa mengambil risiko melalui jalan berlubang, berlopak dan licin setiap hari untuk ke kebun sejak 10 tahun lalu.

Laluan sepanjang tiga kilometer yang sebelum ini berturap, kini pecah akibat menjadi laluan air dari bukit berdekatan sehingga turut memasuki beberapa rumah penduduk terutama ketika musim hujan.

Hassan Serian, 56, berkata, penduduk terutama petani yang mempunyai kebun perlu berhati-hati menunggang motosikal bagi mengelak terjatuh ke dalam lubang.

"Sebelum ini jalan berturap lebih kira-kira tiga kilometer untuk kami ke kebun, tapi sejak 10 tahun lalu, keadaan jalan semakin teruk apabila menjadi laluan air yang turun dari bukit.

"Jalan tar akhirnya pecah dan berlubang, kami hendak ke kebun memang sukar tambahan pula bagi kaum wanita yang menunggang motosikal ke kebun," katanya.

Hassan berkata, air yang turut membawa pasir dan batu itu turut menyebabkan bahagian depan rumahnya dikambus puing berkenaan sehingga setengah meter.

Katanya, dia terpaksa mengorek dan membuang pasir berkenaan bagi mengelak rumahnya 'tenggelam' dengan pasir berkenaan.

"Apabila musim panas, pengusaha ladang ada bantu untuk ratakan jalan ini tapi itu hanya bersifat sementara, apabila musim hujan jalan ini akan rosak semula," katanya.

Seorang lagi penduduk, Zanidah Abdullah, 43, mendakwa hutan yang ditarah untuk projek perladangan menyebabkan rumah pusaka mereka sering dimasuki air.

Katanya, dia sangat berharap kerajaan dapat membuat longkang dan menurap jalan di depan rumahnya semula bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

"Saya terpaksa buang batu-batu yang turun bersama air dari bukit, dalam masa yang sama saya terpaksa bersihkan rumah setiap kali air masuk ke rumah.

"Saya pula menjaga adik orang kurang upaya (OKU) suami pula sudah meninggal akibat kemalangan jalan raya 10 tahun lalu. Saya letih terpaksa berdepan keadaan yang sama setiap tahun.

"Pada musim hujan, air masuk hingga lima ke enam kali sebulan, tepi rumah saya pun sudah berlaku hakisan, saya sangat susah hati bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Pada musim kemarau ini saya harap kerajaan dapat segera membuat longkang untuk keselamatan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 12:17 PM