ANGGOTA penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu memeriksa kawasan jalan yang runtuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu memeriksa kawasan jalan yang runtuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lebih 150 penduduk yang menghuni 33 rumah dihuni di Taman Baiduri, Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh di sini, dilanda kebimbangan apabila jalan yang menjadi laluan penduduk runtuh sejak lima hari lalu.

Penduduk, Ahmad Khairi Mohammad Hasan, 44, berkata, runtuhan tanah itu betul-betul berlaku di depan rumahnya dalam jarak lebih kurang lima meter (m) sahaja.

Katanya, dia dan keluarga bimbang dengan situasi itu kerana musim hujan akan menjadikan runtuhan bertambah teruk.

"Jika ia tidak dibaiki kemungkinan akan berlaku runtuhan lagi dan akan merosakkan struktur jalan di lokasi itu.

"Saya terpaksa meletakkan kereta di luar dari rumah atau di masjid berdekatan yang terletak kira-kira 100 m dari kediaman," katanya.

Ahmad Khairi yang juga guru berkata, runtuhan itu adalah kali kedua selepas kejadian yang sama berlaku pada hujung 2018 dan ia sudah ditambak oleh pihak berwajib.

Pesara kerajaan, Mohd Azwar Junoh, 60, berkata, di hadapan rumahnya juga mungkin akan berlaku runtuhan jalan jika masalah saliran air dari sawah padi tidak dibaiki dengan segera.

"Longkang pembentung saliran air dari sawah padi untuk ke sungai berdekatan sudah dibuat, namun tidak berfungsi sebelum saya dan penduduk lain membaikinya untuk melancarkan pergerakan air ke sungai.

"Akibat hujan lebat, air banyak dan ditambah lagi limpahan air sawah padi akan menyebabkan struktur jalan rosak," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Kamal Mustapha ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah membuat pemantauan dan dalam proses penyediaan laporan untuk membaiki jalan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 9:42 AM