POLIS Johor menahan 67 individu selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran. FOTO ihsan Polis Johor
POLIS Johor menahan 67 individu selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran. FOTO ihsan Polis Johor
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan 67 individu selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran dalam satu operasi yang diadakan serentak di seluruh negeri ini, kelmarin.

Dalam Op Noda Khas itu, sebanyak 17 premis diserbu dan pelbagai rampasan dibuat termasuk sejumlah dadah dan wang tunai.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, operasi itu dilancarkan bagi membanteras kegiatan pelacuran dengan serbuan di 17 premis.

"Seramai 67 ditahan terdiri daripada lapan lelaki tempatan, enam lelaki warga asing serta empat wanita tempatan dan 49 wanita warga asing yang semuanya berusia antara 21 hingga 61 tahun.

"Hasil daripada serbuan ini, polis merampas jadual kerja, beberapa keping resit, kondom, pelincir, botol minyak urut, tisu, telefon bimbit pelbagai jenama, pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat 2,580.80 gram serta wang tunai berjumlah RM57,447," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976;Seksyen 372, Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

Selain itu, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pelacuran, boleh terus menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 9:46 AM