GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 52 individu termasuk tiga penjaga premis ditahan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan di tiga pusat hiburan sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata operasi jam 7.30 malam, kelmarin itu membawa kepada penahanan kesemua individu termasuk 29 warga asing berusia 22 hingga 57 tahun.

Katanya, operasi dijalankan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Cawangan D7 dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, meliputi lokasi di Jalan Ibrahim Sultan, Jalan Stulang Laut dan Taman Sri Tebrau, di sini.

"Hasil pemeriksaan mendapati, ada premis melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), manakala selebihnya beroperasi tanpa lesen sah.

"Seramai 21 daripadanya dikenakan kompaun keseluruhan RM125,000 iaitu mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Manakala 29 warga asing pula dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan, selain semakan rekod keluar atau masuk akan dipohon dengan Jabatan Imigresen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga penjaga premis turut ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen, Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor dan Seksyen 3 (1) Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (UUKTPP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 11:40 AM