Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan menandatangani plak perasmian Kompleks Wanita Kanak Kanak dan Kardiolagi Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan menandatangani plak perasmian Kompleks Wanita Kanak Kanak dan Kardiolagi Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini, berkenan mencemar duli berangkat merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalannya, Datuk Lukanisman Awang Sauni; Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sultan Nazrin turut berkenan melawat tiga klinik serta ruang pameran yang diadakan sempena majlis perasmian itu.

Sementara itu, Dr Dzulkefly ketika menyampaikan sembah ucapan sempena majlis berkata, dengan adanya KWKK, HRPB sekali gus menjadi antara tiga hospital terbesar di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ia memiliki kapasiti 1,394 katil, 22 dewan bedah, 33 katil unit rawatan rapi dewasa, 10 katil unit rawatan jantung, 12 katil unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) dan 24 katil unit rawatan neonatal.

"Perak kini mempunyai 15 hospital kerajaan dengan lima daripadanya adalah hospital berpakar, 88 klinik kesihatan, 73 klinik pergigian, 10 klinik kesihatan ibu dan anak, 222 klinik desa dan 18 klinik komuniti," katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha ke arah menyediakan sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih adil dan saksama, berkualiti tinggi, mudah dicapai dengan kos berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat.

KWKK HRPB yang berkeluasan 14,671 meter persegi mula beroperasi pada Disember 2019 dan dibina dengan kos RM237 juta.

Kompleks 10 tingkat itu memuatkan 404 katil serta dilengkapi 304 lot parkir untuk kakitangan dan pelawat.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:39 PM