Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Perkarangan Stadium Indera Mulia, dekat sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A'fifullah Shah; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Majlis anjuran kerajaan negeri itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung dari serata negeri Perak.

Sambutan yang berlangsung mulai 2.30 hingga 6 petang itu turut membabitkan 10 anak-anak syarikat kerajaan negeri yang menaja pelbagai juadah Aidilfitri kepada pengunjung yang hadir.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam sembah ucapan berkata, kehadiran rakyat jelata dari pelbagai lapisan kaum dan agama pada berkenaan adalah cerminan penzahiran kasih sayang dan ketaatan kepada pemerintahan Sultan Perak, di samping menjadi simbol keakraban rakyat berbilang kaum.

"Kehadiran rakyat berbilang kaum pada petang ini, sekali lagi menjelmakan kekuatan dan keunikan rakyat Malaysia khususnya kita di Perak yang sentiasa bermuafakat membina kesentosaan di sebalik kerencaman budaya, kaum dan agama.

"Sewajarnya diinsafi bahawa kerukunan hubungan kaum yang dipertahankan sejak era pra merdeka sudah mula luntur sedikit demi sedikit sejak kebelakangan ini apabila wujudnya pelbagai dakyah yang sengaja direkayasa bagi menimbulkan sentimen kebencian dan permusuhan," katanya.

Menurutnya, rakyat harus mengembalikan semangat kebersamaan dan menolak perpecahan.

"Marilah kita semua rakyat Perak memacak azam yang jitu untuk menyuburkan kembali semangat kebersamaan dengan mempertahankan keamanan.

"Seterusnya bergandingan menyemarakkan obor perpaduan, menjadi suri teladan dalam mengukuhkan semangat kekitaan serta sentiasa bahu membahu menolak perpecahan.

"Saya mengajak kita semua untuk sentiasa menjunjung titah hasrat Paduka Seri Tuanku supaya keharmonian rakyat berbilang kaum sentiasa dipertahankan daripada percikan api perkauman serta memelihara negeri dan negara tercinta ini daripada bahana persengketaan," katanya.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin berkenan untuk menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar dan Flat PPR Jalan Ashby Ipoh.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, pagi tadi.

SULTAN Nazrin berkenaan hadir pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Perkarangan Stadium Indra Mulia Ipoh. FOTO L Manimaran.
SULTAN Nazrin berkenaan hadir pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Perkarangan Stadium Indra Mulia Ipoh. FOTO L Manimaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 4:49 PM