SULTAN Nazrin Shah berkenan menganugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Baginda hari ini. FOTO BERNAMA
SULTAN Nazrin Shah berkenan menganugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Baginda hari ini. FOTO BERNAMA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda di Balairong Seri Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Hadir sama pada istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta isteri, Datin Seri Aezer Zubir.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan darjah kebesaran negeri kepada 22 penerima yang didahului oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menerima penganugerahan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ia seterusnya disusuli dengan penganugerahan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, manakala Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, bagi Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk diberikan kepada 14 penerima.

Antara penerima DPMP adalah Ketua Hakim Syarie Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London, Kementerian Luar Negeri, Datuk Zakri Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin.

Selain itu, turut menerima DPMP ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Jaafar Sidek Abdul Rahman, Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Shamshuzaman Sulaiman, Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu Jabatan Kerja Raya, Zulkipli Nasri, Pakar Perunding Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Ker Hong Bee.

Penerima DPMP yang lainnya adalah Ketua Jabatan Bedah Kardiothorasik Institut Jantung Negara (IJN), Dr Alwi Mohamed Yunus, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, Mubarak Ali Gulam Rasul, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Universiti Sunway, Prof Dr Lee Fuh Yen, dan Sheila Eleanor De Costa.

Anugerah Secara Anumerta disampaikan kepada Datin Paduka Prof Dr Mehrun Siraj yang diwakili Datuk Sulaiman Abdullah.

Lima menerima Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Datuk Pahlawan, iaitu Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Abd Halim Shaari, Penasihat Pertahanan Markas ATM (MATM), Brigedier Jeneral Safwan@Asri Ismail, Komander Jurutera Medan Barat ATM, Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa.

Turut menerima DPTS, Pengarah Kesihatan MATM BPK Markas Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Ghazalli Mohd Taha serta Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Senior Asisten Komisioner Shazeli Kahar.

Terdahulu, media melaporkan secara keseluruhannya, jumlah penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak yang mendapat perkenan Sultan Perak untuk dikurniakan pada tahun ini adalah berjumlah 212 orang penerima.

Istiadat bagi jumlah penerima selebihnya selain daripada penerima darjah pada hari ini difahamkan bakal diadakan pada satu tarikh lain yang akan diperkenankan kelak oleh Sultan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 2:06 PM