Dr Juita (tudung biru) ketika melawat Klinik Kesihatan Taiping yang mengalami runtuhan siling.
Dr Juita (tudung biru) ketika melawat Klinik Kesihatan Taiping yang mengalami runtuhan siling.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Taiping: Pemeriksaan akan dijalankan terhadap sistem pendawaian elektrik di 15 hospital di Perak bagi mengelak kejadian kebakaran kecil panel katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) malam tadi berulang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah menjalankan audit pada 2013 dan mencadangkan supaya keseluruhan pendawaian elektrik di HRPB ditukar baru.

Katanya, kerja penyelenggaraan keseluruhan pendawaian elektrik di HRPB yang dicadangkan bomba membabitkan perbelanjaan jutaan ringgit dan perlu dijalankan mengikut beberapa fasa.

"Kita akan meminta pihak Edgenta (Edgenta Mediserve Sdn Bhd) untuk menjalankan pemeriksaan di semua 15 hospital bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Setakat ini Hospital Teluk Intan (HTI) sudah menjalankan pemeriksaan pendawaian di keseluruhan bangunan dan disahkan selamat manakala hospital lain turut diarahkan menjalankan pemeriksaan sama," katanya yang ditemui di Klinik Kesihatan Taiping, hari ini.

Dr Juita berkata, kebakaran kecil di HRPB jam 11 malam tadi tidak membabitkan sebarang kecederaan namun semua 43 pesakit terpaksa dipindahkan ke wad lain bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bomba.

Katanya, kebakaran kecil pada panel katil pesakit itu berjaya dipadamkan beberapa waris menggunakan alat pemadam api selepas seorang daripada mereka terbau asap dan melihat percikan api.

Sementara itu, mengulas mengenai Klinik Kesihatan Taiping yang mengalami runtuhan siling semalam akibat hujan lebat, Dr Juita berkata, kerja pembaikan sudah siap sepenuhnya dan operasi akan berjalan sepenuhnya esok.

Keterangan Gambar:

PIX: Juita melawat Klinik Kesihatan Taiping yang mengalami runtuhan siling.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 2:37 PM