LAPAN cedera selepas sebuah kereta berlanggar dengan dua motosikal sebelum merempuh rumah di Jalan Kampung Dalab Pantai. FOTO ihsan bomba
LAPAN cedera selepas sebuah kereta berlanggar dengan dua motosikal sebelum merempuh rumah di Jalan Kampung Dalab Pantai. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Tambunan: Lapan cedera termasuk dua penghuni rumah selepas sebuah kereta berlanggar dengan dua motosikal sebelum merempuh kediaman berkenaan di Jalan Kampung Dalab Pantai, di sini malam tadi.

Penghuni rumah iaitu seorang wanita dan lelaki berusia 48 dan 45 tahun cedera ringan manakala dua penunggang motosikal masing-masing berusia 19 tahun turut cedera.

Sementara itu, pemandu Proton Saga BLM iaitu lelaki berusia 45 tahun dan tiga penumpang berusia antara 17 hingga 4 tahun cedera ringan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.05 malam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan Proton Saga BLM berlanggar dengan dua motosikal dan seterusnya merempuh rumah berhampiran mengakibatkan kerosakan sebuah bilik.

"Rawatan awal dilakukan oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.

"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 10.20 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 11:46 PM