Pengerusi Eksekutif KAJ Development, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman (dua dari kanan) dan Pengerusi Eksekutif DIEZ, Dr Mohammed Al Zarooni (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan Exco Kanan yang mengendalikan pelaburan, industri dan keusahawanan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan sekali).
Pengerusi Eksekutif KAJ Development, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman (dua dari kanan) dan Pengerusi Eksekutif DIEZ, Dr Mohammed Al Zarooni (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan Exco Kanan yang mengendalikan pelaburan, industri dan keusahawanan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan sekali).
Bisnes HM


Kuala Lumpur: KAJ Development Sdn Bhd, pemaju utama Projek Melaka Gateway, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan bertukar dokumen perjanjian (MoA) dengan dua pelabur bagi pembangunan Pulau 1 (PME1).

Majlis berlangsung di Dubai, UAE, bersempena Ekspo 2020 Dubai.

MoU dengan Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Bersepadu Dubai (DIEZ) ditandatangani untuk kerjasama dalam pelaburan dan operasi Zon Bebas Cukai di PME1.

Pengerusi Eksekutif, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman menandatanganinya bagi pihak KAJ Development sementara DIEZ diwakili oleh Dr Mohammed Al Zarooni selaku Pengerusi Eksekutif.

Zon Bebas Cukai yang dicadangkan akan menukar Melaka Gateway menjadi hab perniagaan antarabangsa yang terulung.

Selain MoU, pertukaran dua dokumen perjanjian MoA bagi pembangunan di PME1 Projek Melaka Gateway berlangsung di Malaysia Pavilion.

Pertukaran dokumen pertama adalah bagi pembangunan Terminal Kapal Pelayaran Antarabangsa Melaka (MICT).

Ia membabitkan antaranya MG Velocity Sdn Bhd, dengan X Infinity Property Sdn Bhd serta Total Group Berhad.

Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.5 bilion, MICT akan menyediakan kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Bebas Cukai, hotel mewah serta ruang perniagaan.

MICT dijadual siap pada tahun 2025.

Projek Melaka Gateway di PME1 turut meliputi pembinaan sebuah taman tema moden bertaraf dunia yang dijangka menarik lebih lima juta pengunjung setiap tahun yang membabitkan pelaburan RM1.5 bilion.

KAJ Development memeterai perjanjian dengan Assetwall Sdn Bhd bagi pembinaan

taman tema itu.

Melaka Gateway dilihat akan menjadi Pintu Pelaburan Asia yang bakal memangkin perniagaan baharu serta kawasan pertumbuhan ekonomi serantau.

Projek ini membabitkan pembangunan bersepadu bertaraf dunia yang bakal menarik kemasukan pelabur asing.

Ia juga menawarkan pelbagai bentuk peluang kerjasama yang akan menyaksikan impak ekonomi yang besar bukan sahaja terhadap Melaka bahkan negara dan juga rantau ini.

Projek berskala mega ini dijangka menarik pelaburan sebanyak lebih RM46 bilion selain menyumbang lebih daripada RM125 bilion kepada Pertumbuhan Dalam Negeri Kasar Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM1.2 trilion.

PME1 semata-mata akan menyumbang lebih daripada RM32.5 bilion kepada Pertumbuhan Dalam Negeri Kasar Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM306.73 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 4:36 PM