Kapal Ovation of the Seas berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang jam 9.30 pagi semalam.
Kapal Ovation of the Seas berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang jam 9.30 pagi semalam.
Iskandar Shah Mohamed


Pelabuhan Klang: “Kita tidak mahu terlalu bergantung kepada pelabuhan Singapura berikutan statistik menunjukkan jumlah kapal memasuki negara ini turut meningkat saban tahun,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Menurutnya, satu hab utama sebagai pelabuhan dan terminal dijangka selesai dilaksanakan menerusi projek Melaka Gateway dalam tempoh empat tahun lagi.

Beliau berkata, industri itu perlu dibangunkan sebagai sektor yang menjana pendapatan kepada negara termasuk melalui pelancongan maritim.

“Sebelum ini, semua kapal tertumpu di pelabuhan negara jiran. Kita memang merancang menjadikan Melaka Gateway sebagai hab pelabuhan utama negara.

“Ketika ini, kita mempunyai Pelabuhan Melaka di Tanjung Beruas. Namun, kerajaan negeri Melaka bersama kerajaan China membangunkan Melaka Gateway yang akan dijalankan bermula Julai depan,” katanya selepas meninjau kapal persiaran mewah milik Royal Caribbean International, Ovation Of The Seas yang singgah berlabuh di Bousted Cruise Centre di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Tan Sri Kong Cho Ha dan Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Yean Yoke Heng.

Kapal canggih terbesar di Asia itu melakukan pelayaran selama 14 malam dari Dubai ke Singapura dengan membawa lebih 4,000 penumpang dari seluruh dunia.

Saripuddin berkata, kemasukan semua jenis kapal termasuk Ovation Of The Seas yang berlabuh di Malaysia itu amat dialu-alukan.

Difahamkan Projek Melaka Gateway di Pulau Melaka bernilai RM40 bilion itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Februari lalu dan dijangka mampu menarik 10,000 pelancong sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 9:35 AM