BENDERA Wilayah Persekutuan menceriakan pemandangan pusat bandar menjelang Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50 yang bakal disambut pada 1 Februari ini. FOTO BERNAMA
BENDERA Wilayah Persekutuan menceriakan pemandangan pusat bandar menjelang Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50 yang bakal disambut pada 1 Februari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan 11 program sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, esok.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan dianjurkan sejak Oktober tahun lalu hingga 14 Julai depan.

Antara program terbabit ialah 1 Suara @ 50 WP yang dianjurkan bermula Oktober lalu hingga sepanjang Februari ini, Teaterikal Gemuruh (23 hingga 25 Februari), Prosperity Walk dan Sambutan Tahun Baharu Cina (24 Februari), Marathon Basikal @GFNY Kuala Lumpur (25 Februari) serta Karnival 50WP 2024 (13 dan 14 Julai).

Menurut kenyataan itu, DBKL turut menghiasi jalan utama di ibu negara seperti Jalan Raja Laut, Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail dengan memasang 3,000 gegantung bendera Wilayah Persekutuan.

Sebanyak 1,550 bendera Wilayah Persekutuan juga dipasang pada tiang lampu sekitar ibu kota dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut mengeluarkan surat kepada pemilik bangunan untuk bersama-sama memeriahkan sambutan dengan memasang bendera Wilayah Persekutuan dan bendera Kuala Lumpur di premis mereka.

"Semoga sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2024 disambut gembira oleh seluruh warga kota.

"Semarakkan hari penuh bermakna ini dengan hiasan bendera Wilayah Persekutuan di kediaman masing-masing," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 2:11 PM