PENGAWAL keselamatan memperkemaskan pemasangan bendera Wilayah Persekutuan di sekitar perkarangan SK Pekan Satu sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022 di Labuan. FOTO BERNAMA
PENGAWAL keselamatan memperkemaskan pemasangan bendera Wilayah Persekutuan di sekitar perkarangan SK Pekan Satu sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022 di Labuan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Labuan akan meneruskan acara meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan (FT) pada tahun ini, meskipun wabak Covid-19 masih melanda negara, dengan 30 program diatur mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam normal baharu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata, dengan tema 'Keluarga Malaysia'#SHWP2022, #WilayahKita #Our City Our Home, sambutan itu akan dimulakan dengan pertandingan Cabaran Tik Tok 2022 mulai dari 24 Januari hingga 28 Februari, diikut aktiviti pencahayaan Wilayah Persekutuan pada 30 Januari hingga 28 Februari.

"Walaupun sambutan diadakan dalam persekitaran normal baharu, namun melalui pematuhan SOP Covid-19 dan kawalan semasa perhimpunan, sambutan kali ini akan lebih bermakna apabila kita dapat kembali meraikannya selepas dua tahun pandemik melanda," katanya pada sidang media di Wisma Perbadanan Labuan di sini, hari ini.

Rithuan berkata, program lain antaranya ialah pelancaran pengibaran bendera Wilayah Persekutuan pada 3 Februari, bacaan surah Yassin dan doa selamat serta pameran Keluarga Malaysia (3 Feb), jualan kupon tempat letak kereta dan diskaun bagi bayaran saman pakir kenderaan (4 hingga 28 Feb), acara sukan dan muzik (5 hingga 28 Feb) dan Kenduri Wilayah pada 24 Februari.

Beliau berkata semua peserta acara sukan diwajibkan telah melengkapkan sekurang-kurangnya dua dos vaksin Covid-19.

"Bagi peserta dari luar Labuan, penganjur digalakkan menjalani ujian Covid-19 (jika perlu) sekurang-kurangnya ujian air liur sebelum mereka menyertai mana-mana acara sukan," katanya.

Rithuan berkata semua program berkenaan diadakan setelah mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Memandangkan kami bimbang mengenai kemungkinan penularan jangkitan Covid-19, kami hanya membenarkan 50 peratus kapasiti penonton semasa berlangsungnya kebanyakan acara seperti muzikal, dan kami juga tidak akan membenarkan penonton masuk ke venue program seperti Konvensyen Financial Park. Dewan untuk acara Battle of the Band," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:39 PM