PAUL Yong. FOTO fail Bernama
PAUL Yong. FOTO fail Bernama
Suraya Roslan


Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 1 Mac ini bagi keputusan rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta sebatan dua kali yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk S M Komathy menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah daripada semua pihak.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Paul Yong berkata, anak guamnya telah diprejudiskan apabila tidak diberikan peluang untuk berhadapan dengan mangsa yang juga bekas pembantu rumahnya warga Indonesia.

"Hakim Mahkamah Tinggi (Hakim Bicara) terkhilaf apabila mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa adalah tidak wajar dalam kes ini kerana daripada awal lagi identiti mangsa didedahkan dalam kertas pertuduhan.

"Tiada keperluan untuk menguatkuasakan Seksyen 265 kerana tiada bukti yang menunjukkan mangsa berada dalam bahaya kerana berada di bawah jagaan Kedutaan Indonesia selepas melarikan diri daripada rumah perayu (Paul).

"Anak guam saya telah diprejudiskan. Adalah menjadi hak seseorang tertuduh untuk melihat wajah mangsa tanpa sebarang halangan," kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Abdul Aziz menyatakan walaupun pihak pembelaan tidak dapat melihat wajah mangsa namun mereka masih boleh menyoal balas mangsa.

"Walaupun pihak-pihak lain tidak dapat melihat tingkah laku, mimik muka atas keadaan mangsa ketika memberi keterangan, namun hakim bicara dapat melihatnya. Penilaian yang dibuat oleh hakim bicara telah mengambil kira segala fakta termasuk tingkah laku mangsa," kata Fuad.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam penghakimannya berkata, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Yong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought).

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman terhadap Paul Yong ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 3:38 PM