PAUL Yong di Mahkamah Rayuan. FOTO Asyraf Hamzah
PAUL Yong di Mahkamah Rayuan. FOTO Asyraf Hamzah
Suraya Roslan


Putrajaya: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan hukuman merogol pembantu rumah warga Indonesia, lima tahun lalu.

Dalam keputusan majoriti 2-1, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah menolak rayuan Paul Yong selaku perayu bagi mengetepikan sabitan terhadapnya sementara Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti itu.

Azman ketika membacakan keputusan majoriti itu berkata, Mahkamah Tinggi Ipoh tidak tersilap mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap perayu.

"Hakim Mahkamah Tinggi juga mendapati mangsa adalah seorang saksi yang boleh dipercayai, hakim perbicaraan mendapati perayu mempunyai peluang merogol mangsa ketika dia bersendirian di rumah.

"Kami mendapati tiada merit dalam rayuan itu dan sabitan terhadapnya adalah selamat maka kami menolak permohonan perayu," katanya.

Katanya, mahkamah mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan perayu mempunyai peluang untuk merogol mangsa ketika dia bersendirian selama 30 minit ketika isteri perayu ke restoran makanan segera.

"Kita perlu ingat bahawa tugas mahkamah untuk menilai kejujuran saksi, oleh itu terdapat 30 minit masa antara perayu dan mangsa ditinggalkan bersendirian di rumah dan kemungkinan rogol boleh berlaku kepada mangsa.

"Tiada bukti lain daripada perayu yang menyatakan bahawa rumahnya dipecah masuk atau mangsa melakukan hubungan seksual dengan lelaki lain," katanya.

"Kami tidak bersetuju dengan perayu mengatakan siasatan dijalankan tidak lengkap, kami berpuas hati bahawa penyiasatan itu memuaskan.

"Kami mendapati tiada merit dalam rayuan perayu dan menolak rayuan ini. Kami berpendapat bahawa hakim perbicaraan mempunyai kelebihan iaitu audio dan visual untuk memerhatikan gelagat saksi yang berhak untuk mencabar kredibiliti saksi," katanya.

Sementara itu, semasa membaca keputusan menentang, Komathy berpendapat, pada pandangannya perayu dinafikan hak untuk perbicaraan yang adil kerana tidak dapat melihat muka saksi yang menjadi faktor penting dalam pemeriksaan balas.

"Kedua, alasan perayu adalah mengenai kredibiliti mangsa. Selepas meneliti keterangan, saya mendapati beberapa yang tidak konsisten dan percanggahan dalam beberapa isu.

"Mangsa berkelakuan mencurigakan dan dilihat tenang selepas didakwa dirogol seolah-olah tiada apa-apa berlaku, ini tidak konsisten dengan kenyataan mangsa.

"Seterusnya, saksi pendakwaan ketiga daripada Kedutaan Indonesia dihubungi mangsa keesokan harinya mengatakan dia mengalami gangguan seksual oleh majikan dan bukannya dirogol.

"Terdapat juga bukti daripada kedutaan yang menghubungi agensi pembantu rumah memaklumkan bahawa mangsa mengadu tidak dilayan dengan adil," katanya.

Katanya, dakwaan rogol hanya timbul beberapa jam selepas mangsa dibawa ke balai polis oleh saksi pendakwaan ke-16.

"Tiada penjelasan kenyataan tidak konsisten yang diberikan oleh mangsa. Terdapat perbezaan antara gangguan seksual, tidak dilayan secara adil oleh majikan dan rogol.

"Malah, tiada bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang jelas untuk mengaitkan perayu dengan rogol, kecederaan pada badan mangsa tidak konsisten dengan naratif perbuatan, malah doktor yang memeriksa mangsa bersetuju bahawa koyakan faraj itu boleh berpunca daripada sebab lain seperti onani dengan jari," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Ipoh, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Paul Yong atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara 13 tahun kepada lapan tahun dan mengekalkan dua sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 3:03 PM