BARISAN atlet olahraga B-20 negara bergambar sebaik tiba selepas Kejohanan Olahraga Asia B-20 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. FOTO FB KESATUAN OLAHRAGA MALAYSIA
BARISAN atlet olahraga B-20 negara bergambar sebaik tiba selepas Kejohanan Olahraga Asia B-20 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. FOTO FB KESATUAN OLAHRAGA MALAYSIA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20), Ogos depan, ibarat satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan buat tiga atlet remaja negara, Pengiran Aidil Auf Hajam, Ng Tak Sing dan Hanssen Yap.

Selepas beraksi cemerlang di Kejohanan Olahraga Asia B-20, yang berakhir Ahad lalu, ketiga-tiganya semakin teruja untuk membuktikan kemampuan mereka dan mencipta nama di pentas dunia di Lima, Peru.

Menurut Pengiran Aidil, dia baru merakam masa peribadi terbaik 21.28 saat (s) di Dubai dan mahu membaharuinya lagi di Peru.

"Saya nak beraksi di Kejohanan Dunia kerana untuk Sukan Malaysia (Sukma) masih ada dua kali peluang lagi untuk saya menyertainya," katanya.

Kejohanan Olahraga Dunia B-20 pada 27 hingga 31 Ogos berselisih tarikh dengan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, 17 hingga 24 Ogos dan jika mereka mahu ke Peru, mereka perlu berlepas tiga hingga lima hari lebih awal.

Pada masa sama, atlet berusia 19 tahun kelahiran Sabah itu menetapkan sasaran untuk mewakili negara dalam acara 200 meter (m) di Sukan Sea Thailand, tahun depan.

Sementara itu, sebagaimana Pengiran Aidil yang menyumbang gangsa di Dubai, atlet lompat kijang, Ng Tak Sing enggan terlepas peluang beraksi di di Peru, namun dia turut mahu beraksi di Sukma.

"Saya mahu memperbaiki jarak lompatan, sekali gus mensasarkan mewakili negara di Sukan Sea Thailand dan membawa pulang pingat kepada negara.

"Saya nak ke Peru tapi saya nak habiskan dahulu saingan di Sukma. Keutamaan saya adalah memenangi pingat emas di Sukma dan selepas itu baru ke Peru," kata atlet dari Pulau Pinang yang mencatat lompatan peribadi terbaik 15.62m.

Bagi Hanssen, yang gagal membawa pulang pingat dari Dubai, dia tidak menyembunyikan hajat besar untuk beraksi di Peru,

"Walaupun tak dapat pingat, saya catat masa peribadi terbaik 10.41s iaitu 5s lebih laju daripada catatan peribadi saya.

"Jurulatih saya ada perancangan untuk ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20. Saya yakin mampu mencatat larian lebih pantas di Peru dengan sasaran 10.20s.

"Untuk Sukma, saya masih boleh sertainya dua tahun lagi sehingga umur 21 tahun," kata Hanssen, yang juga atlet dari Sabah.

Catatan rekod kebangsaan acara 100m iaitu 10.09s yang dilakukan Muhammad Azeem Fahmi, ketika menyertai Kejohanan Dunia B-20 di Cali, Columbia pada 2022, terus menjadi inspirasi atlet olahraga muda negara untuk mencapai kejayaan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 5:10 PM