KERBAU yang ditangkap di dalam kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman, Bandar Baru Kampar. FOTO Ihsan Pembaca
KERBAU yang ditangkap di dalam kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman, Bandar Baru Kampar. FOTO Ihsan Pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kampar: Majlis Daerah Kampar (MDKpr) menafikan dakwaan anggota penguat kuasanya menangkap haiwan ternakan di dalam kandang.

Sebaliknya, Yang Dipertuanya, Ahmad Suqairy Alias, berkata operasi menangkap haiwan merayau berkenaan dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan MDKpr pada 12 tengah malam 23 April lalu dalam kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman, Bandar Baru Kampar, di sini.

"Operasi itu dilaksanakan susulan beberapa aduan daripada pengurusan kolej itu berkaitan haiwan merayau iaitu lembu dan kerbau memasuki kawasan kolej terbabit.

"Dalam operasi itu, pihak kami menangkap dua ekor kerbau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Suqairy berkata, MDKPr bersedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dilaksanakan pihak polis.

"Tuduhan kepada pihak Majlis (MDKpr) yang mengatakan tangkapan dilakukan di dalam kandang pemilik dan dicuri adalah tidak benar sama sekali.

"Tindakan penguatkuasaan terhadap haiwan merayau dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan penduduk daerah Kampar secara amnya,' katanya.

Semalam, media melaporkan sekumpulan penternak lembu dan kerbau di kawasan Kampar serta Tapah berhimpun berhadapan bangunan MDKPr bagi menyatakan ketidakpuasan hati susulan operasi menangkap dan menyita haiwan ternakan mereka dibuat secara tidak wajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 6:22 PM