MOHD Shahriz Ramli. FOTO Amir Mamat
MOHD Shahriz Ramli. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Dua tokoh politik Melaka antara beberapa individu di negeri ini yang disekat untuk ke luar negara selepas gagal membayar tunggakan cukai mencecah puluhan ribu ringgit sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) negeri, Mohd Shahriz Ramli berkata, tindakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap kedua-dua ahli politik berkenaan terpaksa diambil susulan pelanggaran Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967/Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka dibenarkan meneruskan perjalanan ke luar negara selepas membayar keseluruhan tunggakan cukai terbabit, pada tahun ini.

"Tunggakan cukai puluhan ribu ringgit itu adalah jumlah terkumpul sejak beberapa tahun lalu selepas mereka diberikan penjadualan semula bayaran secara ansuran," katanya selepas Program Libat Urus LHDN Melaka bersama Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) di Menara Hasil negeri, di sini, hari ini.

"Selain ahli politik, kami turut mengesan beberapa individu seperti tokoh korporat serta pengarah syarikat yang sengaja melewatkan pembayaran cukai. Itu semua tidak menghalang daripada kami mengambil tindakan terhadap mereka mengikut undang-undang yang ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, LHDN negeri berjaya mengutip cukai berjumlah RM1.91 bilion tahun lalu selain menyasarkan sejumlah RM2.1 bilion kutipan pada tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PENDIKA, Nazri Abu Bakar menyambut baik program anjuran LHDN itu dan berharap menerusinya akan memperkukuhkan lagi hubungan antara agensi kerajaan dengan pengamal media khususnya di Melaka.

Katanya, beberapa perkara sudah persetujui menerusi pertemuan itu termasuk penganjuran aktiviti bersama LHDN dan pengamal media selain melaksanakan sesi penerangan serta kesedaran melunaskan cukai kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 5:44 PM