ANGGOTA penguat kuasa DBKL dipindahkan dalam operasi Tindakan Khas Penjaja di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan DBKL
ANGGOTA penguat kuasa DBKL dipindahkan dalam operasi Tindakan Khas Penjaja di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 111 peralatan sewaan perniagaan dipindahkan dalam operasi Tindakan Khas Penjaja di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook memaklumkan, barangan itu terdiri daripada pelbagai jenis basikal, skuter elektrik (tut-tut) dan lain-lain.

Katanya, operasi itu dijalankan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Pejabat Cawangan Setiawangsa, Pejabat Cawangan Titiwangsa, Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal.

"Melalui tindakan khas ini, sebanyak sembilan kes sitaan, pindah halangan dan barangan perniagaan dilakukan kerana meletakkan atau meninggalkan barang di tempat awam serta melanggar syarat lesen.

"Tindakan itu dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) 24, Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 bagi dua kesalahan terbabit," katanya.

Menurutnya, barangan yang disita dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, di sini, untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

"Tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen di seluruh Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 1:10 PM