DATUK Khaw Kok Chin. FOTO Hazreen Mohamad
DATUK Khaw Kok Chin. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain akan memperketatkan kawalan sempadan bagi mengelak kemasukan dadah jenis baru iaitu Fentanil ke negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Khaw Kok Chin berkata, PDRM melalui JSJN adalah agensi utama dalam membanteras dan menghalang kemasukan dadah.

"Setakat ini, tidak terkesan dadah jenis Fentanil di Malaysia dan berdasarkan maklumat serta risikan daripada rakan sejawat di luar negara juga mendapati tidak ada kemasukan atau percubaan penyeludupan dadah jenis ini ke pasaran tempatan.

"Bagaimanapun, dalam usaha mengekang kemasukan apa jua jenis dadah dan bahan terlarang, JSJN bersama agensi penguat kuasa lain akan memperketatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, polis Kelantan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengekang kemasukan Fentanil yang sangat berbahaya kerana mempunyai kesan 100 kali lebih kuat daripada morfin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, dadah berkenaan juga 20 hingga 40 kali lebih kuat daripada heroin.

Katanya, polis sentiasa bersedia untuk mengekang kemasukan dadah itu kerana ia sangat berbahaya dan difahamkan penagihnya akan menjadi seperti 'Zombie' jika mengambilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 5:46 PM