GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang juruukur bahan di sebuah universiti di negeri ini atas dakwaan menerima rasuah motosikal dan wang tunai.

Difahamkan, suspek menerima motosikal Yamaha Y15Z dan wang tunai keseluruhannya dianggarkan RM30,000 daripada wakil sebuah syarikat sebagai balasan mengesyorkan kerja pengubahsuaian bernilai RM3 juta.

Sumber berkata, wang tunai itu juga didakwa diterima bagi tujuan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan kerja syarikat terbabit.

Katanya, suspek lelaki yang berusia 50-an itu ditangkap di pejabat SPRM Terengganu pada 1 tengah hari ketika hadir memberi keterangan.

"SPRM menyita motosikal terbabit dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi permohonan reman," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 5:07 PM