IBU Pejabat SPRM. FOTO Arkib NSTP
IBU Pejabat SPRM. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua wanita termasuk seorang Ketua Pembantu Tadbir sebuah jabatan awam di Terengganu kerana disyaki menyalahgunakan jawatan untuk menyokong syarikat milik adik iparnya bagi mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di jabatan itu.

Sumber berkata, kes salah guna kuasa itu dipercayai berlaku sejak 2019 lagi dan membabitkan lebih 10 perolehan pembekalan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM30,000.

Katanya, suspek pertama yang juga Ketua Pembantu Tadbir berusia dalam lingkungan 40-an ditahan 1.45 tengah hari manakala pemilik syarikat berusia lewat 30-an ditahan sekitar 2.10 petang hari ini di pejabat SPRM Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 5:16 PM