AHMAD Zahid pada Konvensyen Perpaduan Peringkat Negeri Perak. FOTO L  Manimaran
AHMAD Zahid pada Konvensyen Perpaduan Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kerjasama kukuh antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diteruskan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Justeru, Pengerusi BN itu menasihatkan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memastikan keserasian antara kepimpinan kedua-dua parti bukan sekadar oleh kelihatan dalam kalanagn ahli politik, namun mesti dipamerkan oleh akar umbi di peringkat bahagian dan cawangan.

"Mujahid... ingat pesan abang ni, rezeki tidak pernah salah alamat, asalkan terus 'bercium mulut' dengan Saarani.

"Jangan ada perebutan jawatan yang kecil tapi dianggap besar, kita runding elok-elok," katanya semasa berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Perak di sini, hari ini.

Mengimbas kembali pembentukan Kerajaan Perpaduan di Perak, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, PH yang memiliki 24 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah membuktikan keikhlasan apabila memberi laluan kepada BN untuk menjawat Menteri Besar (MB) walau parti itu hanya memenangi sembilan kerusi.

"Keikhlasan ini yang mengikat kita pada ketika itu. Sepatutnya PH boleh tuntut kerusi MB Perak tapi keikhlasan PH telah memberikan mandat kepada BN untuk jadi MB.

"Jika keikhlasan ini kita boleh pertahankan, terus bergerak di akar umbi dan bekerja untuk menentukan bahawa dokongan itu terus kepada kita," katanya.

Konvesyen Kerajaan Perpaduan yang julung kali dianjurkan di peringkat negeri itu disertai lebih 1,500 perwakilan hari ini dirasmikan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 5:29 PM