GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan Perak gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan dipertahankan sehingga akhir penggal bagi membangunkan negeri ini dan mensejahterakan rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau tidak pasti mengapa ada pihak yang mengharapkan selepas enam bulan kerajaan ini akan runtuh.

Menurutnya, sepatutnya mereka berdoa untuk melihat kerajaan ini dipertahankan, dan beliau yakin apabila BN bersama PH bersetuju membuat keputusan menubuhkan kerajaan bersama, sudah tentu ada kesefahaman yang dipersetujui.

"Malah saya dimaklumkan, siang tadi (semalam) ada mesyuarat pertama PH di Ipoh, Perak buat kali pertama selepas pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Saya difahamkan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam perjumpaan itu bertekad untuk memastikan kerajaan ini sehingga akhir penggal," katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Menteri Besar Perak bersama media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Saarani berkata, PH yang mempunyai jumlah kerusi lebih banyak mengharapkan kerajaan ini sehingga akhir penggal dan tidak mahu berlaku sebarang perubahan kerajaan, jadi BN yang hanya ada sembilan kerusi tidak mungkin ingin 'meruntuhkannya'.

"Kita sambut baik dan sebab itu kita sudah setuju untuk tubuh kerajaan bersama, malah saya berharap tidak ada orang yang berdoa kerajaan ini jatuh dalam tempoh enam bulan.

"Kita ada agenda lapan tahun untuk bangunkan negeri ini dan saya juga ada memaklumkan dalam mesyuarat exco hari itu, kita meraikan perbezaan pendapat apatah lagi kerajaan dibina dalam dua kumpulan berbeza tetapi dapat duduk semeja pada saya ia satu petanda baik buat rakyat Perak," katanya.

Beliau berkata, parti ini masih berbeza di mana PH dengan perlembagaan dan hala tujunya sendiri begitu juga dengan BN.

"Jadi saya tidak lihat apabila penubuhan kerajaan bersama ini akan membawa kepada perubahan dasar dan hala tuju BN.

"Sekarang ini, apabila kita bersetuju menubuhkan kerajaan bersama kita akan cuba sebaik mungkin mengurangkan perbezaan pendapat dengan fokus utama membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 8:54 AM