Pengunjung mencari keperluan harian seperti sayuran, ikan, dengan harga yang tidak menentu pada tinjauan harga bahan mentah dan keperluan asas di Pasar Besar Jalan Othman hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Pengunjung mencari keperluan harian seperti sayuran, ikan, dengan harga yang tidak menentu pada tinjauan harga bahan mentah dan keperluan asas di Pasar Besar Jalan Othman hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Noor Hidayah Tanzizi


Petaling Jaya: Harga bawang merah meningkat dua kali ganda sejak beberapa minggu lalu apabila pembekal memberi alasan tiada bekalan berikutan larangan eksport di India.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Jalan Othman, di sini, hari ini mendapati bawang besar merah dijual pada harga RM8 berbanding sebelum ini dijual pada harga antara RM2.80 sehingga RM3.50 sekilogram.

Peniaga Ho Yiang Fong, 42, berkata dia diberitahu bekalan bawang besar dari India sukar diperolehi, kecuali mendapat bekalan dari Pakistan.

Menurutnya, bawang kecil merah atau bawang ros dari India masih ada, tetapi harga naik ke RM12 sekilogram berbanding sebelum ini masih boleh dijual pada harga RM8.

Katanya, dia mendapatkan bekalan bawang daripada pembekal kira-kira lima hingga enam kilogram, namun tidak semuanya berada dalam keadaan elok dan tidak busuk.

"Kami beli bawang dalam paket, tidak boleh pilih-pilih dan selepas beli barulah kami akan periksa dan bersihkan supaya yang busuk dan tidak elok dibuang dan yang elok saja dijual kepada pelanggan. Kalau banyak rosak, rugilah kami.

"Pelanggan memang merungut melihat harga bawang ketika ini, tetapi mereka faham cuma saya sendiri tak tahu sampai bila harga ini akan kembali turun atau boleh naik lagi tetapi saya harap harga akan kembali stabil.

"Sekarang sudah hampir musim perayaan, tetapi harga untuk bawang kami belum tahu lagi sama ada akan naik atau tidak," katanya.

Menurutnya, dia kini perlu menunggu harga jualan daripada pembekal dan secara kebiasaan harga tidak menentu pada musim perayaan.

"Harga tak menentu, kadang-kadang harga naik, kadang-kadang tidak.

"Justeru, saya harap kerajaan dapat melihat perkara ini kerana harga barang keperluan akan terus membebankan rakyat dan peniaga kecil seperti kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 4:16 PM