HARGA bawang India naik tiga kali ganda.
HARGA bawang India naik tiga kali ganda.
Irwan Shafrizan Ismail


PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan kekurangan bekalan bawang merah India di negara ini yang mendorong kenaikan harga disebabkan larangan eksport sepenuhnya dari negara pembekal.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Rosli Ahmad berkata, larangan itu menyebabkan berlaku kenaikan harga bahan mentah berkenaan selepas India menghentikan eksportnya September lalu.

Katanya, tindakan itu akibat penyusutan bekalan di India susulan cuaca tidak menentu, pilihan raya negara berkenaan selain memberi tumpuan kepada keperluan rakyat mereka.

Katanya, pemeriksaan dan pemantauan dilakukan pihaknya di seluruh negara termasuk di Perlis selepas ada dakwaan pengguna di negeri itu perlu membayar harga bawang merah India sehingga tiga kali ganda.

“Kenaikan harga memang berlaku dan ia bermula sejak September sebaik saja larangan eksport oleh kerajaan India.

“Kami belum mengesan lagi aktiviti mencatut, setakat ini tiada tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pengguna juga masih ada alternatif bawang import lain seperti dari Pakistan, China, Thailand dan Myanmar yang dijual pada harga lebih rendah.

“Harga stabil sekarang ini sebab pengimport beli daripada negara pembekal, sebahagian besar bekalan dari Pakistan dan China,” katanya.

Katanya, harga bawang tidak dikawal kementerian selain tidak termasuk dalam skim harga maksimum musim perayaan Krismas.

Kelmarin, KPDNHEP dalam satu kenyataan memaklumkan sedia menyiasat punca kenaikan harga bawang India di Perlis sejak September lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, siasatan itu membabitkan seluruh rantaian bekalan bawang India dari peringkat pengimport, pembekal, pemborong dan peruncit.

Katanya, notis mengikut Seksyen 21 dikeluarkan terhadap setiap rantaian bekalan itu bagi mendapatkan maklumat harga kos dan mengesan kenaikan harga.

Sebelum ini, pengguna di Perlis merungut harga bawang merah India yang dijual pada RM4 sekilogram, kini mencecah RM16 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 5:40 AM